Carian


Laman Utama About Contact
Saturday, December 27, 2008

Khitbah (pertunangan) pada usia muda  

Jika ada IPT yang hendak diberikan penghormatan mengenai usaha menggalakkan perkahwinan para penuntutnya, markah yang penuh wajar diberikan kepada UIAM. Semenjak dahulu lagi UIAM menggalakkan siswa dan siswi bernikah dengan memberikan saguhati kepada mereka. Mungkin jumlah yang diberikan itu tidak lah dapat menampung sepenuhnya mahar yang tinggi di Malaysia, namun ianya akan dapat menampung serba sedikit bebanan itu. Diharapkan agar saguhati yang diberikan itu dapat digandakan di masa-masa hadapan demi mengurangkan gejala maksiat di kalangan siswa dan siswi yang kini tidak mengenal sempadan. IPT-IPT lain juga wajar mencontohi UIAM di dalam hal ini.


Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin!

Sabda Rasulullah SAW: "Wahai orang-orang muda, sesiapa yang mempunyai kemampuan di kalangan kamu, hendaklah mereka berkahwin. Sesungguhnya ia lebih menjaga pandangan. Barangsiapa yang tidak mampu, hendaklah mereka berpuasa, sesungguhnya ia adalah perisai" (H.R. al-Bukhari)


Antara keluhan yang sering diluahkan oleh para siswa-siswi di IPT ialah tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin. Tuntutan naluri muda mereka menyeru mereka untuk berkahwin. Persekitaran yang diwarnai oleh kefasadan dan maksiat juga menuntut mereka untuk menghalalkan perhubungan berlainan jenis yang merupakan sifat tabi'i manusia. Kajian-kajian oleh sesetengah pihak dan juga laporan-laporan media membuktikannya. Samada hasil kajian yang pernah didedahkan oleh akhbar kosmo pada awal tahun 2006, mahupun apa yang telah dilaporkan oleh NST pada 18 Ogos 2006. Kesemuanya membuktikan kemelut yang sedang dihadapi oleh para siswa dan siswi di IPT-IPT. Sayang sekali, kemampuan material mereka tidak membenarkan pernikahan dilangsungkan di alam pengajian. Ibubapa moden yang berfikiran materialistik dan kolot juga menjadi penghalang utama. Bagi para ibubapa, anak-anak mestilah menghabiskan pengajian, mestilah mempunyai kerja yang tetap dan kukuh, membeli kereta, barulah anak-anak tersebut boleh berkahwin. Akhirnya, anak-anak di IPT bergelumang dengan dosa berpacaran dan berkhalwat yang dilarang oleh Allah SWT.


Adakah kemampuan untuk bernikah terletak pada kerjaya, segulung ijazah, kereta, ataupun gaji yang lumayan?


Menurut jumhur ulama, kemampuan yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah kemampuan untuk membayar mahar (mas kahwin dan bukan hantaran). Mahar boleh di dalam pelbagai rupa. Ada sahabat yang memberikan mahar hanya dengan sebentuk cincin besi sahaja. Malah ada yang memberikan mahar di dalam bentuk surah al-Quran yang mereka hafal. Apa yang menjadi persoalan utamanya, institusi kekeluargaan itu mesti dipopularkan. Usaha untuk memudahkan pembentukan sebuah institusi kekeluargaan itu adalah satu kewajipan di dalam mana-mana komuniti. Perhubungan secara halal akan dapat mengelakkan banyak masalah sosial yang dihadapi masyarakat. Sayang sekali jika usaha pembentukan mahligai yang suci ini sentiasa dihalangi oleh batas-batas material yang kita sendiri ciptakan.


Ibn al-Qayyim pula mempunyai pentafsiran yang lebih ekstrim berhubung "kemampuan" yang disebutkan oleh hadis tersebut. Bagi beliau, kemampuan yang dimaksudkan ialah "kemampuan fizikal". Oleh yang demikian, barangsiapa yang tidak mempunyai kemampuan "fizikal" untuk menjalankan tanggung jawab sebagai suami, hendaklah mereka berpuasa untuk menjana kekuatan "dalaman". Walau bagaimanapun, ini bukanlah pendapat yang popular. Pendapat jumhur ulama mengenai kemampuan yang ditafsirkan sebagai kemampuan untuk membayar mahar merupakan pendapat yang kuat.


Penentuan mahar


Antara persoalan yang mungkin timbul lewat perbincangan mengenai mahar ialah, milik siapakah "penentuan mahar" tersebut. Adakah ianya milik si dara, ataupun bapanya. Di dalam pengamalan masyarakat Melayu dari dahulu lagi, si bapalah yang menentukan kadar mahar si gadis. Jika mereka letakkan terlalu murah, nanti ada yang megatakan, anak gadisnya terlalu murah. Jika mereka letakkan terlalu mahal, nanti ada pula yang mengatakan, mereka menjual anak. Maka adat dan harga pasaran tempatanlah yang menjadi ukuran. Apa yang penting, mahar adalah hak mutlak si bapa untuk menentukannya. Lazimnya di Malaysia, orang utara terkenal dengan mahalnya mahar, orang Pantai Timur terkenal dengan mahar yang rendah, manakala orang di tengah dan selatan mengukurnya mengikut keadaan keluarga dan juga kebiasaan saudara mara. Adakah ini bertepatan dengan Islam?


Di dalam Islam, si gadislah yang mempunyai kuasa mutlak ke atas maharnya. Si gadis mempunyai kuasa penuh untuk menentukan jumlah mahar yang beliau kehendaki. Walaupun al-Quran dan al-Sunnah tidak menghadkan harga siling untuk mahar, namun Rasululah SAW menasihatkan anak-anak gadis agar tidak meletakkan mahar yang terlampau tinggi. Gadis-gadis yang menuntut mahar yang rendah dipuji oleh Rasulullah SAW. Perkara seumpama ini tidak berlaku di Malaysia kita, malah ianya juga tidak berlaku di kebanyakan negara-negara Islam. Uruf atau adat yang banyak memainkan peranan. Si bapa yang mempunyai kuasa dominan sering berperanan untuk menentukan jumlah mahar anak-anak gadis mereka. Kebiasaannya, ianya diukur menurut jumlah kos perbelanjaan perkahwinan yang terpaksa mereka tanggung.


Isu yang cuba diketengahkan di sini ialah, adakah perletakan mahar yang tinggi sesuai untuk warga IPT?, ataupun kita terus akur dengan adat lantas menghalang anak-anak di IPT daripada berkahwin, semata-mata kerana halangan mahar yang tidak mampu untuk mereka bayar?


Berterusanlah anak-anak di IPT di dalam gelombang maksiat di atas nama coupling dan kebebasan individu.


Cara mengatasinya


Jika benar para siswa dan siswi ingin mengelakkan diri dari melakukan maksiat dan berniat untuk menghalalkan perhubungan mereka, mereka hendaklah bernikah. Itulah sahaja penyelesaiannya. Seumpama tema NOKIA, "Nokia – connecting people", kita mengatakan "NIKAH – Connecting people". Alasan yang sering diungkapkan ialah "Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin..."

Apakah tiada solusi yang praktikal di dalam hal ini?, tidak!, solusinya ada, Cuma kesungguhan yang tiada. Apakah solusinya?


1. Peranan Jabatan-jabatan agama dan pusat-pusat zakat


Salah seorang siswa pernah mengadukan kerenah birokrasi yang dihadapi beliau untuk bernikah di zaman pembelajaran. Jabatan-jabatan agama bagaikan tidak menggalakkan anak-anak IPT bernikah dengan mudah. Mungkin mereka lebih gemar untuk mengendap dan memberkas pasangan yang berkhalwat daripada menggalakkan anak-anak muda bernikah. Imam-imam dan para kadi juga nampaknya kurang "jantan" di dalam perkara ini. Majoriti mereka lebih takutkan prosedur dan juga apa yang termakstub di atas kertas berbanding dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran dan sunnah. "Saya tidak ada kuasa, nanti saya yang akan kena dakwa!", merupakan ungkapan-ungkapan yang biasa didengari dari mulut para imam dan kadi yang diminta untuk memudahkan urusan perkahwinan anak-anak muda IPT yang tidak dapat melalui proses birokrasi yang konvensional.


Pernah berlaku, seorang muallaf yang ingin bernikah tetapi tidak mendapatkan surat pengesahan masuk Islam dari negara asalnya telah dihalang daripada berkahwin oleh seorang jurunikah di ibu negara. Muallaf tersebut telah membandingkan proses perkahwinan yang jauh lebih mudah di negaranya yang kafir melalui khidmat gereja berbanding dengan proses pernikahan di Malaysia "Darul Islam" ini. Bukan sekali, sepanjang umur saya yang masih muda ini, sudah dua tiga kali para muallaf mengadukan hal yang sama. Lebih parah, ada di antara juru nikah yang tidak berani menikahkan sepasang muallaf hanya kerana tiada surat sokongan dari bapa si gadis yang bukan Islam. Mungkin gambaran ini hanya segelintir kerenah yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak muda bila berhadapan dengan kerenah birokrasi jabatan-jabatan agama dan juru nikah-juru nikah. Realitinya mungkin lebih banyak lagi masalah yang mereka hadapi. Tidak hairanlah mereka mengambil jalan yang mudah, iaitu dengan berzina atau bersekedudukan mahupun berpacaran yang jauh lebih mudah. Malangnya, di dalam kes mengendap dan mencekup pasangan yang berzina dan berkhalwat, personel-personel agama ini akan beriskap pro-aktif!


Sewajarnya jabatan-jabatan agama dan personel-personel agama ini memudahkan proses perkahwinan anak-anak muda. Lebih baik lagi jika disediakan satu pakej perkahwinan IPT di mana prosesnya dimudahkan dan diberikan bonus serta saguhati. Bukankah di dalam usul al-fiqh ada kaedah "fath al-dharai'" (membuka jalan-jalan kebaikan). Bukankah juga kaedah fiqh juga ada yang mengatakan "al-wasilah yak hudhu hukmu al-ghayah" (hukum kepada jalan yang membawa kepada sesuatu perkara adalah mengikut hukum matlamatnya). Rasulullah SAW juga ada bersabda: "Penunjuk jalan kebaikan akan mendapat pahala seperti pembuatnya".


Jabatan-jabatan agama juga sepatutnya tidak hanya mengadakan kursus-kursus perkhawinan, tetapi juga hendaklah menganjurkan kursus "promosi perkahwinan" dan juga "karnival nikah" seperti karnival membeli belah. Eksperiman Jabatan Agama Wilayah menganjurkan perkahwinan beramai-ramai patut dicontohi oleh semua jabatan agama di seluruh Malaysia. Pusat zakat juga sepatutnya bekerjasama dengan jabatan-jabatan agama agar dapat mengurangkan beban mahar yang terpaksa ditanggung oleh pasangan-pasangan muda ini. Upacara perkahiwnan beramai-ramai ataupun "karnival nikah" ini juga sepatutnya dijadikan upacara penarik pelancong. Laksanakan ia di Dataran Merdeka ataupun di dataran KLCC agar ianya benar-benar dijadikan sebagai karnival. Biarlah seluruh negeri melakukannya, biarlah ianya menjadi lebih hebat dari "Jom Heboh". Rasanya, kerjasama TV3 juga perlu, mungkin mereka juga boleh menjadikannya sebagai acara "Nikah Heboh". Karnival tersebut jangan hanya diserikan dengan acara nikah dan makan sahaja, tetapi pameran, forum perdana, ceramah, persembahan nasyid dan sketsa serta jualan murah barang-barang keperluan harian untuk keluarga juga patut dijadikan acara sampingan.


2. Peranan IPT


Jika ada IPT yang hendak diberikan penghormatan mengenai usaha menggalakkan perkahwinan para penuntutnya, markah yang penuh wajar diberikan kepada UIAM. Semenjak dahulu lagi UIAM menggalakkan siswa dan siswi bernikah dengan memberikan saguhati kepada mereka. Mungkin jumlah yang diberikan itu tidak lah dapat menampung sepenuhnya mahar yang tinggi di Malaysia, namun ianya akan dapat menampung serba sedikit bebanan itu. Diharapkan agar saguhati yang diberikan itu dapat digandakan di masa-masa hadapan demi mengurangkan gejala maksiat di kalangan siswa dan siswi yang kini tidak mengenal sempadan. IPT-IPT lain juga wajar mencontohi UIAM di dalam hal ini.


IPT-IPT juga wajar menganjurkan karnival nikah untuk mengurangkan perbelanjaan kenduri kahwin oleh para pasangan muda. Jadikan ia acara tahunan. Pusat zakat juga boleh memainkan peranan mereka untuk membantu IPT-IPT di dalam menjayakan hal ini. Saguhati atau bonus juga sepatutnya diberikan kepada pasangan-pasangan yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka. Sebagai contoh, mereka yang mendapat CGPA melebihi 3.5, bonus daripada HEP akan diberikan. Melalui cara yang sedemikian, masalah penurunan prestasi belajar siswa dan siswi yang telah berkahwin akan dapat diatasi. Blok asrama untuk kelamin juga wajar diwujudkan untuk mengurangkan kos sewa rumah di kalangan pasangan-pasangan muda di IPT.


Yakinlah, jika perkara seperti ini tidak dilakukan, gejala maksiat akan semakin berleluasa di masa hadapan. Lebih ditakuti lagi, apabila maksiat sudah dipandang biasa dan sudah menjadi norma. Pada waktu itu, masyarakat yang wujud akan menjadi masyarakat yang bobrok serta punah. Jika IPT-IPT tidak mengambil inisiatif pun, akan sentiasa terdapat pasangan siswa dan siswi yang akan menggunakan cara lain untuk bernikah. Kelazimannya, Golok akan menjadi destinasi terkahir mereka untuk menghalalkan perhubungan cinta yang sudah tidak dapat dibendung dan dihalang.


3. Simpanan khas


Para siswa dan siswi tidak sewajarnya hanya mengharapkan pihak lain melakukan sesuatu sahaja. Mereka perlu bersikap pro aktif. Para siswa dan siswi sepatutnya telah mula merancang kehidupan mereka di masa hadapan semenjak hari mereka mengakhiri peperiksaan SPM. Satu akaun khas untuk kehidupan masa depan wajib diusahakan. Pastikan sejumlah daripada segala pendapatan bulanan dimasukkan ke dalam akaun khas tersebut. Lebih baik jika ianya dimulakan lebih awal daripada itu. Bukan hanya pihak siswa sahaja, malah pihak siswi pun sepatutnya juga mempunyai usaha yang sama. Pastikan segala duit perolehan hasil durian runtuh juga dimasukkan ke dalam akaun khas berkenaan. Usaha sebegini akan memberikan keyakinan kepada ibubapa bahawa anak-anak mereka sudah matang dan mempunyai wawasan.


Kebiasaannya ibubapa ragu-ragu tentang kematangan anak-anak. Mereka masih lagi risaukan tahap pemikiran dan kematangan anak-anak mereka. Turut silap juga ialah anak-anak juga yang tidak menunjukkan kesungguhan dan kematangan. Para ibubapa tidak dapat melihat bukti yang anak-anak mereka benar-benar mampu untuk berdikari. Perkara sebaliknya jika mereka mendapati anak-anak tersebut telah mempunyai perancangan dan mempunyai wawasan. Kematangan anak-anak akan segera dapat dihidu. Amat mengecewakan ramai di kalangan siswa dan siswi yang ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai perancangan yang teliti dan boleh dipercayai. Lebih mengharukan lagi jika mereka hanya beriya-iya hendak kahwin di mulut sahaja, tetapi tidak bersikap matang di dalam tindakan. Di dalam hal ini jangan dipersalahkan ibubapa yang bersikap konservatif, salahkan diri sendiri dahulu. Moralnya, mulalah mengumpul duit dari sekarang!


4. Pendapatan sampingan


Di pasaran kini, buku-buku mengenai mencari duit tambahan akan laku seperti goreng pisang panas. Buku-buku karangan Robert Kiyosaki, Azizi Ali, dan lain-lain tokoh dalam dan luar negara menjadi "best seller". Mengapa?, kerana tuntutan hidup di era globalisasi ini memaksa kita mencari pendapatan sampingan. Begitu juga halnya dengan para siswa dan siswi. Apabila disebutkan pendapatan sampingan, jangan hanya terbayangkan restoran-restoran makanan segera sahaja. Zaman kini adalah zaman "outsourcing". Kebanyakan projek-projek yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat besar akan dibahagi-bahagikan kerjanya kepada syarikat-syrikat kecil yang lain. Bagi sesiapa yang pandai di dalam bidang grafik, reka bentuk, media, multimedia, peluang untuk mendapatkan pendapatan sampingan sentiasa terbuka luas. Hanya perlu rajin lebi sedikit sahaja.


Bagi yang pandai menulis dan melukis, mereka juga boleh menggunakan bakat tersebut untuk menjana pendapatan. Penjualan buku-buku, terutamanya novel dan cerpen kini menjadi begitu popular. Terokailah ia untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Bagi yang tidak mampu untuk melakukan perkara-perkara yang telah disebutkan di atas, ruang motivasi, tiusyen, dan banyak lagi kerja-kerja akademik yang boleh mereka lakukan. Bagi sesiapa yang lebih rajin, carilah pensyarah-pensyarah yang sedang melakukan pengkajian dan juga penyelidikan. Kebiasaannya para pensyarah tidak akan cukup dengan seorang pembantu kajian (research assistant). Tawarkan khidmat anda, mereka pasti akan gembira untuk mengupah anda bekerja. Peluang perniagaan melalui khidmat-khidmat juga ruang yang boleh dieksplorasi oleh para siswa. Terdapat juga di kalangan siswa dan siswi yang terlibat dengan perniagaan MLM, tetapi risikonya tinggi. Perkara yang sering berlaku ialah waktu mereka akan dihabiskan dengan banyak untuk tujuan berkenaan. Mungkin perniagaan insurans lebih ringan daripada MLM.


Apa yang penting di sini, para siswa dan siswi hendaklah mula mengumpul duit untuk berkahwin melalui pendapatan sampingan. Usaha ini akan membantu para siswa dan siswi membina keyakinan di hati para ibubapa. Jikalaulah mereka beralasan anak-anak tidak mampu lagi untuk berkahwin kerana kelemahan di bidang material, maka jika siswa dan siswi tadi sudahpun mempunyai pendapatan sampingan, mereka akan mati hujah. Pengalaman mencari duit di alam kampus juga akan membantu para siswa dan siswi di dalam alam kerjaya mereka. Mereka akan menjadi lebih berdikari, berpengalaman dan lebih berkeyakinan untuk menempuhi kehidupan pasca kampus. Jika mereka ikhlas, Allah akan sentiasa membantu. Apatah lagi jika kerja-kerja itu dilakukan untuk menyahut seruan Allah dan RasulNya.


Kesimpulan


Tiada masalah yang Allah berikan kecuali di sana ada jalan penyelesaiannya. Di sebalik semua ujian dan cabaran ada hikmahnya. Kelebihan anak-anak Adam yang tiada pada makhluk lain adalah akalnya. Lontaran idea-idea di dalam artikel ini hanyalah sebahagian dari cetusan minda seorang pendidik. Para siswa dan siswi tentunya lebih kreatif dan lebih mengetahui hal keadaan mereka. Seperkara yang penting, para siswa dan siswi Muslim harus sedar tujuan kehidupan kita diciptakan. Kemuncak kehidupan seorang hamba ialah jika mereka dapat memastikan setiap detik dan saat di dalam kehidupannya berlandaskan syariat Allah. Pastikan juga redha dan juga cinta Allah yang menjadi buruan. Pernikahan adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah dan RasulNya. Perkahwinan juga merupakan wasilah untuk seorang hamba menjauhi larangan Allah. Perkahwinan juga akan dapat membantu para hamba untuk melalui setiap langkah di dalam hidupnya di atas naungan kecintaan Allah. Mengapa bertangguh lagi?, ayuh segera mulakan langkah!

Dipetik dari Bicara Buat Diri

Tuesday, December 16, 2008

Bagaikan air yang mengalir...  

seandainya kalian meyakini jalan dakwah ini adalah jalan yang ingin kalian berada di atasnya, maka bersedialah dengan ujian yang datang lebih laju dari air yang mengalir...

wakafkanlah segala tenaga dan usaha kalian untuk akidah yang kalian yakini ini.. Jadilah seperti air, walau disekat ia tetap mengalir.. itulah yang sepatutnya ada pada diri seorang da’ie..
kita satu keluarga.. (1 usrah).. aku adalah engkau dan engkau adalah diriku.. pengalaman dan pertemuan ini mengajar kita erti kehidupan.. sesungguhnya aku mengasihi kalian kerana Allah.. moga ukhwah ini berkekalan selama-lamanya..

sahabat2ku..

Jadilah seperti air, walau disekat ia tetap mengalir.. itulah yang sepatutnya ada pada diri seorang da’ie..biarlah berlinangan air mata itu.. usah dihentikannya..biarlah ia menyembuh luka dan menghilangkan rasa duka. Usah dibiarkan jerih perih kehidupan meleraikan iman.. walau menitis air mata darah sekalipun takkan mampu mengubah takdir Allah..

Namun kita tidak pernah bersendirian, Allah sentiasa ada untuk kita.. Dia Maha Kaya dan Maha Mendengar.. Dia mengetahui rintihan dan bisikan hati hamba-hambaNya.. Percayalah sahabatku.. sesiapa yang bertaqwa kepadaNya pasti ada jalan keluarnya dan rezeki yang tidak disangka-sangka.. Cukuplah Allah bagi kita..

jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang dan jika di antara kamu ada seribu (orang yang sabar) nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah.

Al-Anfal :66

Hai orang-orang beriman, mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Al-Baqarah : 153

Jadilah seperti air, walau disekat ia tetap mengalir.. itulah yang sepatutnya ada pada diri seorang da’ie.. 

Memulakan langkah memang perit.. bertatih.. jatuh.. dan bangun semula..

Kadang2 tanpa tangan menghulur bantuan .. terasa diri kembara sendirian.. memimpikan syurga idaman sebagai pemujuk iman.. sedangkan diri bertarung dengan ujian yang terus menghimpit.. kerdilnya diri bila menghitung keringat yang gugur.. lemahnya diri bila menghitung titisan air mata yang menitis.. rupanya masih sedikit cinta dan kasih ini dipadu.. mekar dalam jambangan setia pada perjuangan Islam..

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Al- Baqarah: 155

Jadilah seperti air, walau disekat ia tetap mengalir.. itulah yang sepatutnya ada pada diri seorang da’ie.. pada saat diri terasa lemah tidak berdaya, ingatlah bahawa segala kekuatan itu datang dari Allah.. mintalah padaNya..

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang "Aku" maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Al Baqarah: 186

Ya Allah.. bimbinglah kami dalam mencapai redhaMu… :’-(

Tuesday, December 9, 2008

Lembaran Hidup Wanita Solehah  

Mampukah aku menjadi seperti Siti Khatijah?
Agung cintanya pada AlLah dan RasululLah
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabililLah
Penawar hati kekasih AlLah

Susah dan senang rela bersama…..
Dapatkah kudidik jiwa seperti Siti Aishah?
Isteri rasulullah yang bijak
Pendorong kesusahan dan penderitaan
Tiada sukar untuk dilaksanakan..

Mengalir air mataku
Melihat pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah
Akur dalam setiap perintah
Taat dengan abuyanya, yang sentiasa berjuang
Tiada memiliki harta dunia
Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga….

Ketika aku marah
Inginku intip serpihan sabar
Dari catatan Siti Sarah…

Tabah jiwaku
Setabah ummi Nabi Ismail
Mengendong bayinya yang masih merah
Mencari air penghilang dahaga…

Di terik padang pasir merak
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah
Pengharapannya hanya pada AlLah
Itulah wanita Siti Hajar…

Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman
Bersinar indah, harum tersebar
Bagai wanginya pusara Masyitah…

Friday, November 21, 2008

Kata-kata hikmah Khulafa~ur Rasyidin  

SAIDINA ABU BAKAR RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu:
Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau;
hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau;
hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya
Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina
Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga

SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
Hatinya selalu berniat suci
Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah
Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

SAIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH BERKATA:

Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'
Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya
Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'
Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi
Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan
Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati

Tuesday, October 7, 2008

Engkau Muslimah?  

Dari Abdullah bin Umar R.A:


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar, iaitu memohon ampun. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.

Seorang wanita yang cukup pintar antara mereka bertanya:

"Wahai Rasulullah, mengapa kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka."

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal daripada golongan kamu."

Wanita itu bertanya lagi:

"Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?"

Rasulullah s.a.w menjawab:

"Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah dikatakan dengan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama." (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini tidak lain tidak bukan menjadi peringatan kepada para muslimah. Peringatan yang sangat berguna kerana ia lahir dari kenyataan yang bakal terjadi. Lafaz tutur yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w selepas peristiwa Israk wal Mikraj. Gambaran-gambaran yang ditunjukan kepada Rasulullah s.a.w merupakan peringatan paling berguna yang tidak boleh dipancang remeh.

Maka, bersedialah wanita. Beruntung dan bersyukurlah kamu yang bersuamikan lelaki soleh. Peringatkanlah selalu kepada suamimu supaya tidak lalai memperjuangkan agamamu. Taat dan patuhlah selagi ia tidak melanggar atau melampaui dinding syarak.

Jangan disia-siakanlah waktu sucimu, kerana kamu mempunyai waktu-waktu kotor yang membataskan kamu untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Peliharalah auratmu, kerana ia merupakan kewajipan. Berasa malu dan rendah diri jika ia dilihat atau diketahui oleh orang lain. Aurat yang terbuka boleh mengundang nafsu berahi orang yang melihatnya sehingga boleh mengundang perbuatan yang tercela.

Monday, May 12, 2008

Meningkatkan Keyakinan Diri  

Di dalam persekitaran yang penuh cabaran ini, pasti semua individu menghadapi masalah yang tidak dapat dielakkan, iaitu masalah Keyakinan Diri. Bagaimana kita mengekalkan atau meningkatkan keyakinan diri kita?

Berikut merupakan beberapa tip yang boleh diambil sebagai panduan untuk meningkatkan keyakinan diri anda :  Kita sebagai seorang individu yang normal atau kurang upaya, mempunyai kelebihan dan kekurangan diri masing-masing. Oleh itu, anda yang dapat mengenali diri anda dengan baik pasti anda mengetahui kelebihan dan kekurangan diri anda itu. 

Dengan itu, anda diminta untuk mengasah kelebihan anda dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Dengan cara ini seseorang itu betul-betul menghargai usaha sendiri dan puas dengan apa yang dikecapi hasil daripada usaha yang dilakukan.

Kedua, ambil risiko. Anggap kegagalan merupakan satu proses pembelajaran dan pengalaman. Jika anda gagal tidak bermakna anda tidak berkebolehan. 

Mungkin kegagalan itu berpunca daripada keterbatasan kebolehan atau kemahiran diri. Jangan risau bahawa kemahiran hidup boleh dibentuk dan anda pasti akan mampu untuk berjaya sekiranya anda memperbaiki segala kelemahan yang ada daripada pengalaman kegagalan yang lalu. Ingat!!! 

Anda mungkin tidak semestinya akan berjaya setelah mencuba untuk kali kedua.. anda mungkin kena melalui percubaan demi percubaan tidak kira berapa kali, 3...4...10...100 dan ........

Jika tidak berjaya juga jangan bimbang, mungkin anda memang tidak berkebolehan untuk melakukannya... ingat bukan itu sahaja yang anda boleh lakukan... banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan.  Ketiga, sentiasa berfikiran positif. 

Jika anda dihantui oleh fikiran negatif, ingatkan diri anda bahawa anda mempunyai kelebihan yang lain yang boleh dimanfaatkan. Sebagai contoh, katakan kawan anda amat pandai dalam pengiraan (subjek matematik) dan anda pula mudah untuk mengingat (subjek sejarah). Anda dan kawan anda boleh belajar bersama secara berkumpulan dan saling tolong-menolong untuk mencapai  kecemerlangan akademik. Ingat sentiasa berfikiran positif bahawa anda melakukannya untuk faedah anda dan kawan anda iaitu untuk berjaya.  

Ingat apa yang anda lakukan, lakukan untuk diri anda. Abaikan apa yang diperkatakan oleh orang lain tentang diri anda, apa yang penting adalah anda menyayangi diri anda dan anda lakukan hanya untuk  kesejahteraan diri anda.  

Nobody Perfect!

Monday, April 7, 2008

Ahlan wasahlan!  

Assalamualaikum


Selamat datang ke blog saya yang tidak seberapa ini. Penulisan blog ini bukan kerana diri ini pandai menulis artikel, tetapi hanya belajar berkongsi ilmu dengan kalian semua. Moga-moga dengan perkongsian yang sedikit ini, akan ada nilainya di sisi AlLah kelak. InsyaAlLah. Komen-komen dari para pengunjung sangat dialu-alukan.

Kenapa Wardah Oxide?

Wardah adalah dari nama saya sendiri, Wardah bt Baharuddin. Berasal dari Taman Sabariah, Jln Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Oxide pula pula bermaksud oksida. Tiada maksud spesifik untuk Wardah Oxide. Mungkin sengaja diletakkan begitu untuk mudah disebut.

Sekian sahaja untuk muqaddimah.

Wardah Oxide