Carian


Laman Utama About Contact
Thursday, January 22, 2009

Warkah buat pimpinan muslimat...  

Assalamualaikum,

Terlebih dahulu ana ingin memohon maaf sekiranya coretan ana menyinggung perasaan sahabat-sahabat sekalian. Bukan untuk menyinggung, tetapi untuk kita sama-sama renung betapa kita semua banyak melakukan kesilapan sebagai pimpinan Muslimat di KUIN yang kita sayang ini.

Teman-teman akhawat sekalian,

Kita terpilih memegang amanah sebagai pimpinan dalam kalangan muslimat, untuk membantu melicinkan pergerakan organisasi kita dalam kampus ini. Bukan bermakna hanya kita sahaja yang layak, tetapi fikirkanlah kenapa Allah memilih kita. Yakinilah bahawa Allah yang memilih kita untuk memberi latihan kepemimpinan ini kepada kita, sebagai satu persediaan untuk kita menghadapi masa depan yang hanya Dia sahaja yang Maha mengetahui.

Ura-ura ada dalam teman-teman mahu mengundur diri dari jawatan yang disandang, dengan alasan tidak bersedia, kekangan masa,tidak cukup pengalaman, tidak dapat terima cara muslimin handle lujnah dan sebagainya, adalah alasan yang ana rasa sedih sekali mendengarnya. Kalau datang dari pelajar jurusan ekonomi, mungkin sebab mereka belum faham. Tetapi sedih sekali ia datang dari kalangan kita yang berada dalam jurusan usuluddin dan jurusan al-Quran. Bukankah kita sudah beriman bahawa setiap satu urusan itu adalah hak milik Allah? Allah yang menentukan untuk kita. Dia tidak sekali-kali akan zalim kepada kita. Kita tidak akan diberati oleh tugas-tugas yang tidak kita mampu, melainkan setiap amanah itu Allah mengetahui kemampuan kita untuk menerimanya.

Firman-Nya dalam surah al-Baqarah : 286 

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." 

Teman-teman akhawat sekalian,

Jika alasan tidak bersedia memegang jawatan, bilakah masanya kita akan bersedia? Cuba beritahu tarikh dan hari yang kalian pasti akan bersedia, supaya kita boleh adjust. Tentu kalian teragak-agak untuk menjawabnya, kerana dalam fikiran kalian, hanyalah untuk mengelak daripada memegang jawatan. Maaf ana pohon. Alasan kekangan masa, adalah juga alasan untuk melepaskan diri. Tidakkah kita semua sama sahaja masa yang Allah beri dalam satu hari? Jika kita sibuk, tidak terfikirkah kita ikhwan dan akhawat dalam organisasi kita yang lain juga sibuk seperti kita? Atau kita hanya mementingkan diri, hanya melihat mereka bertambah beban kerja disebabkan kalian melarikan diri?

Juga alasan tidak dapat menerima cara ikhwan mengurus lujnah, hanyalah alasan remeh yang direka untuk mengelak dari jalan dakwah. Akhawat sekalian, kita semua manusia, samada muslimin mahupun muslimat. Setiap manusia pula pelbagai ragamnya. Dan kepelbagaian ragam itu adalah rahmat kepada manusia. Manusia bukan robot yang perlu seragam setiap tindakan mereka. Dengan ketidakseragaman inilah manusia memerlukan antara satu sama lain untuk saling melenkapi kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Seperti jua kalian, ikhwan juga mungkin tiada pengalaman, kekangan masa, dan sebagainya. Mereka juga masih belajar berorganisasi, sudah tentu banyak perkara yang mereka dan kita juga harus belajar. Jika kita mengelak, kita akan kehilangan peluang untuk melatih diri kita. Jika kerana sedikit kesilapan pihak muslimin yang mungkin mengguris hati pun kalian sudah mahu mengundur diri dari jalan dakwah, bagaimana nanti jika kalian berdepan dengan masalah yang lebih mencabar? Adakah setiap kali berdepan masalah, kalian akan berkeputusan melarikan diri dari masalah?

Maaf sekali lagi ana pohon. Maaf jua jika susunan ayat ana menyinggung perasaan. Teman-teman seperjuangan sekalian. Kita sudah sedia maklum bahawa perjuangan kita dalam organisasi berteraskan Islam ini banyak cabaran. Bersabarlah, dan harungi dengan penuh tanggungjawab. Kita di sini tiada apa-apa tekanan dari mana-mana pihak. Cubalah kalian ikuti perkembangan perjuangan sahabat-sahabiyah kalian di IPTA-IPTA lain. Betapa mereka menerima pelbagai ancaman, ugutan, serangan dari pihak luar, mereka boleh terus bertahan. Kita hanya mengalami masalah dalaman jemaah sahaja. Malah masalah peribadi sendiri mengheret jemaah menjadi bermasalah adalah sesuatu yang tidak wajar.

Teman-teman akhawat sekalian,

Kita memerlukan pemimpin muslimat untuk membantu tugas ikhwan. Berorganisasi dalam jemaah ini memerlukan kesabaran, kecekalan, kesungguhan, tanggungjawab, bijaksana dan seumpamanya. Kekurangan pengalaman boleh diatasi dengan sentiasa berdamping dengan para pemimpin, bersama dengan tokoh-tokoh yang ada dalam kalangan kita dan sebagainya. Sentiasa bersedia menerima nasihat dan seronok apabila dinasihati. Bukan bermasam muka dan enggan bercakap dengan orang yang menegur kita. Jangan memandang remeh sebarang bentuk nasihat walau datang dari sesiapa pun termasuk musuh. Pemimpin yang enggan menerima nasihat, akan berakhir dengan salah satu daripada dua keadaan; yakni bersifat diktator, ataupun mengalami kegagalan dalam berorganisasi.

Harapan ana kepada semua, fikirlah dengan berpandukan ilmu dan iman kalian. Janganlah mengikut hawa nafsu yang sentiasa cuba mengheret kita keluar dari jalan dakwah. Tanamlah dalam diri kalian, bahawa amanah itu pasti akan ditanya mengenainya - samada kita melaksanakannya atau tidak, ataupun mengapa kita cuba lari daripada amanah yang ditetapkan Allah kepada kita.

Sekian, mohon maaf dari ana. 

Wardah,

Tuesday, January 20, 2009

KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT  



...Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari....

Setiap hari, laluan jalan pergi dan pulang ini akan mempamerkan kejahilan wanita Islam hari ini tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut :-

KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.

KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :

"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)

Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.

Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.

Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.

Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.

Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.

Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.

Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya. 

Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.

Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.

"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)

 Ini lebih diredhai di mata Rasulullah SAW

Kesemua jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.

Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.

Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)

Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)

‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.

Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini

Larangan Nipis

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:

"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)

Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.

Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.

Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-

يرحم الله المتسرولات

Ertinya : Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .

Menurut Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)

Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.

KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.

Larangan ini datang dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)

TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT

Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-

" Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf : 20)

Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-

a)       Perbezaan dengan binatang.

Allah SWT berfirman :

" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)

Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.

b)       Agar kaum wanita tidak disakiti

Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.

c)        Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.

Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam).. »

Dari sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »

d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam. Kita dapat memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.

Justeru, Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard'  pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.

e)       Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.

Saya kira hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk : 2)

DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER

Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.

"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.

"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.

Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu"  (Riwayat Muslim)

Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.

"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"

Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"

Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?

Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.

Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.

Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :

إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار

Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar,  8/632, no 3920 )

Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.

Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW

من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً

Ertinya : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.

Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ;  Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?

Saturday, January 10, 2009

Tegakkan Khalifah, akhiri derita Gaza  

Dalam kehangatan pemilihan pucuk pimpinan parti-parti yang ingin berkuasa di Malaysia ketika ini, sedarkah pengunjung semua mengenai perjuangan yang sepatutnya lebih penting dari mana-mana perjuangan yakni perjuangan Islam. Penulis yakin rakan-rakan penulis masih kabur mengenai sejarah gerakan Islam sedunia. Semoga artikel di bawah dapat memberi sedikit pengetahuan kepada rakan-rakan pengunjung sekalian, InsyaAllah..

Perjuangan harakah Islamiah (gerakan Islam) adalah mata rantai perjuangan RasuluLLAH S.A.W. Sejak kewafatan baginda Nabi Muhammad S.A.W, perjuangan Islam diwarisi oleh pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin, kemudian diteruskan oleh pemerintahan khilafah-khilafah lainnya.

Selepas kejatuhan Khilafah Islam Turki Uthmaniyyah tanggal 03 Mac 1924 hasil pengkhianatan Musatafa Kamal Attaturk dengan bantuan dari pelbagai negara-negara Barat , maka muncullah satu demi satu gerakan Islam di beberapa buah negara khasnya negara-negara yang pernah menjadi wilayah pemerintahan Uthmaniyyah. Dengan berbekalkan satu matlamat yang sangat besar iaitu untuk mengembalikan semula sistem khilafah ini yang telah mengangkat darjat serta kemuliaan ummah , maka beberapa individu dikalangan ulama’-ulama’ yang sedar memulakan langkah ke arah pembentukan semula rasa cinta terhadap agama di kalangan ummat Islam yang telah diserang badai jahiliyah Sekular yang sangat dahsyat. Sudah pasti golongan sekular dan golongan kafir tidak akan membiarkan khilafah tertegak kembali. Sudah tentu gerakan-gerakan Islam ini dimomokkan dengan label pengganas, anti-kemajuan, kolot, jumud, tidak pandai memerintah, pemecah-belah, radikal, ekstrim dan sebagainya.

Berikut adalah beberapa Harakah Islamiah (Gerakan Islam) yang ditubuhkan selepas kejatuhan Khilafah :

1924 –
Nama : Jama’ah An-Nur
Pengasas : Sheikh Bediuzzaman Said An-Nursi.
Tahun / Tarikh : 1924 ( selepas kejatuhan Khilafah )
Negara : Turki.·
Bertahan selama 9 bulan sahaja dan diharamkan.

1928 –
Nama : Ikhwanul Muslimin
Pengasas : As-Syahid Imam Hasan Al-Banna.
Tahun / Tarikh : 1928
Tempat : Ismailiyah.
Negara : Mesir.
Rangkaian : Jordan, Syria, Lubnan, Sudan, Afrika Utara, Iraq dan lain-lain.

1941 -
Nama : Jama’ah Islami
Pengasas : Sayyid Abul A’la Al-Maududi
Tahun / Tarikh : 26 Ogos 1941
Tempat : Lahore
Negara : Pakistan
Rangkaian : Benua India – Sri Lanka, Bangladesh, Afganistan, India
( 1947 – Syah Waliyullah Ad-Dahlawi ).

1944 -
Nama : Parti Al-Ummah
Pengasas : Sadiq Al-Mahdi
Tahun / Tarikh : 1944
Tempat : Khartoum
Negara : Sudan·
Sekarang Ikhwanul Muslimin – Dr.Hasan Turabi.

1945 -
Nama : Majlis Syura Muslimin ( Masyumi )
Pengasas : Haji Mohammad Natsir ( Pak Natsir )
Tahun / Tarikh : 08 November 1945
Tempat : Yogjakarta
Negara : Indonesia
Diharamkan : 17 Ogos 1960

1947 -
Nama : Al-Jamahir Syabiyah
Pengasas : Ust Muhammad Mahmud As-Sawaf
Tahun / Tarikh : 1947
Tempat : Baghdad
Negara : Iraq
Diharamkan : 1952·
Sekarang Ikhwanul Muslimin

1948 -
Nama : Hizbul Muslimin
Pengasas : Ust Hj Abu Bakar Al-Baqir
Tahun / Tarikh : 14 Mac 1948
Tempat : Gunung Semanggol, Perak Darul Ridzuan
Negara : Malaysia
Membawa tarbiyah Ikhwanul Muslimin
Diharamkan : Jun 1948 oleh British

1951 -
Nama : Parti Islam Se-Malaysia ( PAS )
Pengasas / Pimpinan : Haji Ahmad Fuad
Tahun / Tarikh : 24 November 1951
Tempat : Bagan Tuan Kecil, Pulau Pinang
Negara : Malaysia
Lanjutan dari Hizbul Muslimin - Mempunyai kuasa memerintah secara majoriti di 2 negeri
iaitu Kelantan (sejak 1990) dan Kedah (sejak Mac 2008)

1987 -
Nama : Harakatul Muqawwamatil Islamiah ( HAMAS )
Pengasas : As-Syahid Sheikh Ahmad Yasin
Tahun / Tarikh : 08 Disember 1987
Tempat : Ghazzah ( Gaza )
Negara : Palestin·
Lanjutan dari Ikhwanul Muslimin Palestin – 1948

1989 -
Nama : Front Islamic Salvation ( FIS )
Pengasas / Pimpinan : Prof Abbas Madani dan Sheikh Ali Benhaj
Tahun / Tarikh : 18 Februari 1949
Negara : Algeria
Diharamkan : 09 Februari 1992

1998 -
Nama : Partai Keadilan Sejahtera ( PKS )
Pengasas / Pimpinan : Dr.Ir Nurmahmudi Ismail dan Dr.Hidayat Nurwahid
Tahun / Tarikh : 20 Julai 1998
Tempat : Jakarta
Negara : Indonesia

2001 -
Nama : Parti Keadilan & Pembangunan Turki ( AK Party )
Pengasas / Pimpinan : Recep Tayyip Erdogan
Tahun / Tarikh : 14 Ogos 2001
Negara : Turki·
Lanjutan dari Parti Refah – Prof Nejmuddin Erbakan·
Lanjutan dari Parti Milli Salamat.


Melihat kepada Palestin hari ini, yang dizalimi tentera Israel, adakah kita hanya mampu melihat dan hanya bersedih? Selain berdoa, apa lagi usaha kita untuk membantu mereka saudara kita? Selain menderma, apa lagi usaha kita? Sedih sekali kita hanya memerhatikan para ibu menangisi kematian anaknya di pangkuan. Sedih sekali melihat seorang anak kecil menangisi pemerian ibu bapanya akibat bedilan Israel.

Gerakan Islam yang wujud hari ini adalah bertujuan untuk mengembalikan sistem khilafah yang suatu masa dahulu menjadi tempat bernaung umat Islam dan juga umat manusia keseluruhannya. Sekiranya sistem khilafah masih ada, tentulah Palestin tidak akan dibiarkan merana walaupun sehari. Dengan itu, secara automatik, tugas khilafah diambil alih oleh gerakan-gerakan Islam ini untuk membela umat Islam seluruh dunia sehingga tertegak semula sistem khilafah.

Peranan muslimat dalam membantu gerakan Islam amat dituntut. Kaum hawa tidaklah perlu membataskan diri dalam aspek-aspek rumah tangga dan kerjaya semata-mata. Kita juga perlu bergerak bersama dalam gerakan Islam. Jika kita enggan, apakah kita rela hati melihat anak-anak Palestin menderita? Naluri keibuan tidak akan sampai hati membiarkannya. Bagaimana caranya untuk membantu mereka? Caranya adalah dengan mengembalikan maruah ummah dengan berusaha mengembalikan pentadbiran khilafah Islamiyyah.

Oleh itu saya menyeru kita semua umat Islam, terutama kaum hawa, marilah kita bersama-sama dengan gerakan Islam di tempat kita. Menegakkan khilafah Islamiyyah adalah wajib. Jadi, bersama-sama dengan gerakan Islam juga wajib. Masyarakat Islam di Malaysia sewajarnya bersyukur kerana negara kita dikurniakan satu wadah perjuangan Islam yang jelas. 

Mudah-mudahan negara kita diberi kemenangan dan ditadbir oleh Gerakan Islam.

Friday, January 9, 2009

Palestin...alngkah sedihnya...  


Mahu saja aku menitiskan air mata melihat gambar-gambar mangsa kekejaman Israel di Gaza. Anak-anak kecil yang tidak berdosa turut menjadi mangsa. Tangisan, rayuan, kesedihan dan sebagainya bercampur baur sehingga tidak dapat dipastikan bagaimana perasaan rakyat Palestin di Gaza.

Kalaulah umat Islam bersatu...
Kalaulah masih wujud Khalifah Islamiyyah...
Kalaulah masih ada Sultan Salahuddin al-Ayyubi...
Kalaulah negara-negara Islam tidak membina kekuatan ketenteraan hanya untuk disimpan...
Kalaulah jiran-jiran Palestin bertindak menyerang balas Israel....

Tentu rakyat Palestin tidak akan rasa bersendirian...
Tentu umat Islam tidak terus dihina...
Tentu Yahudi laknat itu ketakutan...
Tentu Islam kembali gemilang...
Tentu dunia kembali aman...

Tetapi, semua itu terhenti pada perkataan "Kalaulah...."

Hakikatnya masih ramai umat Islam yang tidak rasa apa-apa dengan kesengsaraan Palestin. Tidak ada perasaan untuk bersimpati atas dasar persaudaraan Islam. Hanya bersimpati sekadar "kemanusiaan".

Isu palestin adalah isu umat Islam. Isu aqidah, ukhuwwah dan izzah Islamiyyah. Sedih sekali apabila masih ramai umat Islam yang alpa dan macam tiada apa-apa. Tak mahu tahu dan ambil tahu. Para remaja Islam leka dengan dunia romatiknya bercouple, seronoknya menari dan menyanyi, gila dan taksub dengan artis, dan macam-macam lagi. 

Aduhai umatku... tiadakah sedikit cahaya iman dalam hati kalian? Tiadakah sedikit ruang dihatimu untuk rakyat Palestin? Tiadakah airmata mu untuk rakyat Palestin? Alangkah sedihnya...

Nabi Mendo’akan Penghuni Kubur  

Syeikh ‘Utsman Bin Hassan al-Khubawi menuturkan kisah dari Kitab Zubdat al-Wa’idzin, bahawasanya Tsauban mengisahkan:

Suatu hari kami berjalan bersama Rasulullah S.A.W dan melewati lokasi pemakaman umum. Tiba-tiba, beliau berhenti dan berlinangan air mata. Kemudian, beliau mengangkat tangan seraya memanjatkan sebuah do’a. Maka aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau menangis?”


Jawab Rasulullah S.A.W: “Wahai Tsauban, aku mendengar para penghuni kubur sedang disiksa, maka aku berdoa memohonkan keringanan seksaan mereka dan Allah pun mengabulkan doaku. Ketahuilah hai Tsauban, seandainya ketika mereka masih hidup, mahu berpuasa sehari sahaja dalam bulan Rejab dan malam harinya mengerjakan solat malam, nescaya mereka tidak diseksa sepedih itu.”

“Wahai Rasulullah, benarkah hanya dengan puasa sehari dan solat malam pada Bulan Rejab dapat menolak seksaan kubur?” Tanyaku (Tsauban) penasaran (terkejut).

“Hai Tsauban , demi Allah yang mengutusku sebagai Nabi yang hak, tiada seorang muslim pun yang berpuasa sehari dan solat malam sekali di Bulan Rejab demi mengharapkan redha Allah, melainkan Dia mencatat amalannya laksana puasa dan solat malam setahun”. Tegas Rasulullah S.A.W.

Keterangan:
Masya Allah!!. Hanya dengan puasa sehari sahaja di Bulan Rejab dan solat malam di malamnya dengan penuh menharap keredhaaan-Nya, kita dapat dihindarkan daripada azab seksa yang pedihnya tidak terperi. Na’udzubillahi min Zalik. 

Saudaraku, sengaja saya tuliskan dalam blog yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ini, sementara masih diberi ni’mat kesihatan dan kelapangan . Mungkin sesetengah daripada pembaca ini berasa hairan mengapa saya menulis artikel ini terlalu awal?! Wahai saudaraku, sebenarnya inilah persediaan awal bagi kita untuk berlatih sementara kita masih lagi berada di ambang tahun baru ini. Insya-Allah dengan berkat latihan dan rahmat dari-Nya, kita dapat mengingati artikel ini dan berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan sunnah Nabi kita yang besar fadhilatnya. 

Saya menulis artikel ini ditujukan khas kepada saudara yang berada di Palestin terutamanya di Ghazza yang masih dihentam dan dibantai oleh Israel La’natullahi ‘alaihim dengan melemparkan bom-bom tanpa mengira tempat, umur dan jantina. Sebenarnya inilah peluang bagi kita untuk berpuasa dan berdoa pada hari kita berpuasa untuk dihadiahkan kepada mereka yang berada di Palestin@Gaza. Ingatlah sabda junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sollallahu ‘alihi wa Sallam “الدعاء سلاح المؤمن "

“Doa itu senjata bagi orang mu’min”. 

Tambahan pula pada masa itu, kita sedang berpuasa. Lagi tambah berkatnya. Boleh dikatakan satu dunia menyambut di ambang tahun baru dengan membakar bunga api yang berwarna warni. Namun ketahuilah saudaraku bahawa rakyat-rakyat Palestin bukannya menyambut tahun baru dengan membakar api, namun mereka menyambut dengan beratus-ratus hujan peluru berpandu. Apakah alasan Israel la’natullahi ‘Alaihim pada kali ini. Mereka menyatakan bahawa mereka berbuat demikian untuk mempertahankan diri daripada diserang Hamas.

Padahal Hamas menyerang mereka kerana merekalah yang melanggar genjatan senjata yang telah diadakan. Saudara saya yang bernama Izzuddin yang berasal daripada Palestin pernah menceritakan dengan penuh menyayat hati,beliau mengatakan: “Anak ibu saudaraku, Anak saudaraku, semuanya syahid dibom oleh Israel la’natullah. Anak-anak di Palestin bagaikan senapang yang sentiasa berada di kepala mereka. Namun percayalah bahawa Perdana Menteri Palestin Ismail Haneya berjanji bahawa kemenangan sudah dekat”. 

Akhir kata, buat Imam-imam di Malaysia sekaliannya, akhirkanlah solat-solat fardhu kalian di masjid-masjid dan surau-surau dengan Qunut Nazilah untuk bekalan buat mereka yang berada di Palestin dan buat semua para pembaca, berpuasalah semampu yang mungkin supaya dapat berdoa buat mereka di Palestin dan dermakanlah duit tersebut untuk rakyat di bumi Palestin.

Saya berdoa buat semua para pembaca blog ini supaya dapat berpuasa walaupun sehari dan bersolat malam di Bulan Rejab supaya dapat menghindarkan diri dari Azab Allah. Wallahu A’lam. 

Friday, January 2, 2009

Jenayah kemanusiaan di Gaza  

Itulah hakikat yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun seperti yang di nyatakan oleh Menteri luar Syria, Walid Muallim dalam mensyuarat Menteri-Menteri Luar Arab di Kaherah baru-baru ini.

Hakikatnya,


1) Umat Islam Palestin di Gaza khususnya yang ditimpa penyakit kronik tidak dapat keluar daripada Gaza bagi mendapatkan rawatan kerana larangan daripada pihak Israel.


2) Sumber kesihatan Palestin mengesahkan angka bilangan kematian yang tercatat sepanjang kepungan yang dibuat oleh Israel seramai 261 orang termasuk seorang wanita yang berumur 34 tahun. Doktor Mu’awiyah Husnain berkata “termasuk yang syahid setakat ini ialah seorang wanita yang bernama Karimah Zuhair Abu Dallal, ibu kepada lima orang anak”. Penyakit yang dihidapinya sepatutnya dapat dirawat di hospital luar Gaza. Akan tetapi dek kepungan ini beliau tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan sehinggalah beliau mati.


3) Kementerian kesihatan Palestin menyatakan bahawa hospital terbesar yang terdapat di Gaza berhadapan dengan masalah kehabisan gas memasak, keadaan ini amat menyukarkan kerana mereka sepatutnya menyediakan hampir 1500 makanan setiap hari kepada para pesakit. Lebih menyulitkan keadaan apabila gas yang sama sepatutnya digunakan juga untuk proses pengeringan tuala dalam proses pembedahan. Oleh yang demikian kementerian tersebut menyeru negara arab dan Islam menyuarakan isu ini ke peringkat antarabangsa.


4) Lebih memalukan umat Islam apabila sebuah akhbar berbahasa Arab bertarikh 20/11/2008 telah melaporkan Majlis Kesatuan Ekonomi Arab di bawah Liga Arab membelanjakan 50 juta dolar untuk projek membela Penyu laut, sedang umat Islam di Gaza dikepung dan dihimpit kesusahan serta penderitaan, mereka sebok dengan projek yang tidak menguntungkan ini. Muhammad Abdul Fudhail Syusyah, gabenor timur Sina menyifatkan “inilah projek pertama yang sepertinya di Mesir”. Adakah penyu laut lebih berharga daripada nyawa saudara mereka di Gaza ? .


5) Akibat daripada kepungan ini, bekalan makanan juga semakin berkurangan. Satu laporan menyebut bahawa mereka yang menduduki Gaza kini terpaksa mengambil tepung yang pada asalnya adalah dijadikan makanan kepada burung-burung, kini ianya dijadikan makanan kepada sebahagian penduduk Gaza yang kekurangan bekalan.


6) Bantuan daripada luar juga tidak dibenarkan masuk untuk disalurkan kepada masyarakat dan penduduk Gaza.


7) Bekalan elektrik juga terputus akibat daripada kepungan ini, bermakna mereka kini berada dalam keadaan bergelap pada waktu malam.


Jesteru Aman Palestin menyeru rakyat Malaysia yang perihatin agar memainkan perana positif dalam membantu saudara mereka yang sangat memerlukan pada masa ini. layari http://
www.amanpalestin.org