Carian


Laman Utama About Contact
Friday, February 20, 2009

Jangan mengelak dari tanggungjawab  

USAHA dakwah adalah tanggungjawab semua umat Islam dan menjadi kewajipan mereka mengambil kerja serta amanah ini dengan bersungguh-sungguh mengambil kira kadar kemampuan diri sebagai umat pertengahan yang akan menjadi saksi nanti.

Justeru, usaha dakwah perlu dilaksanakan mengikut jalan yang dilalui Rasulullah SAW sebagai panduan kerana cara itu adalah lebih baik dan berkesan.

Selain melaksanakan tanggungjawab dakwah, kita juga perlu bertanya apakah tujuan sebenar menjalankan misi dakwah dan pada masa sama berfikir tugas hakiki kita sebagai seorang Muslim. Pasti jawapannya ialah untuk mencari reda Allah.

Persoalannya adakah dengan menunaikan ibadat wajib dan sunat sudah memenuhi matlamat mencapai reda Allah, adakah mencari rezeki menanggung keluarga sudah memadai atau membantu masyarakat dengan kerja amal sudah mencukupi.

Hakikatnya, tugas seorang Muslim begitu luas dan jika tidak difahami dengan sebenar-benarnya, mereka akan tersasar daripada jalan lurus yang sepatutnya diikuti.

Jika manusia itu dijadikan untuk bergiat cergas dalam sektor pertanian, pastinya mereka dilahirkan di kawasan yang memiliki tanah subur, begitu juga jika mereka dilahirkan untuk menjadi peniaga berjaya, pasti tempatnya di kalangan usahawan terkemuka.

Sesungguhnya Allah tidak menciptakan manusia untuk kepentingan tertentu sebaliknya mereka perlu memenuhi semua aspek kehidupan secara menyeluruh kerana kehidupan di dunia bukan untuk mendapatkan keperluan sendiri tetapi demi kemaslahatan semua.

Buku Apakah Tugas Hakiki Saya Sebagai Seorang Muslim cuba memberi kefahaman kepada pembaca tugas yang terpikul di bahu manusia yang beriman kepada Allah, baik untuk dirinya sendiri serta masyarakat di sekeliling yang turut mempunyai hak ke atas mereka.

Tumpuan buku ini dikhususkan kepada peranan manusia sebagai pendakwah yang bukan saja bertanggungjawab membawa diri mencari reda Allah tetapi pada masa sama menarik ahli masyarakat yang lain untuk bersama mendapat keredaan Allah.

Jalan terbaik ditekankan ialah mencontohi perjuangan dakwah Rasulullah SAW yang menunjukkan teladan praktikal mengenai maksud sebenar usah dakwah yang dihiasi pengorbanan tidak berbelah bagi membabitkan diri, harta serta nyawa.

Dakwah Rasulullah SAW yang mencakupi pelbagai bangsa, latar belakang dan masa berupaya menyedarkan umat Islam hari ini betapa besarnya tanggungjawab sebagai seorang Muslim jika mereka tahu apakah fungsi kejadian mereka di dunia ini.

Contohnya, jika angkatan tentera negara tidak faham akan tugas dan tidak berfungsi seperti kehendak tugas mereka, apa akan terjadi kepada negara. Jika polis tidak melaksanakan tanggungjawab, apa akan terjadi kepada masyarakat?

Setiap hamba Allah mempunyai peranan masing-masing dalam masyarakat. Kewajipan tugas harian bukan halangan untuk melaksanakan misi dakwah supaya agama Allah tersebar dan kukuh di muka bumi.

Begitu juga dengan seorang Muslim tidak pasti akan tugas hakiki dan tidak menjalankan tugas dengan betul, huru hara lebih dahsyat akan berlaku. Oleh itu, penting bagi kita mengetahui tugas hakiki seorang Muslim lebih-lebih lagi sebagai ahli jemaah gerakan Islam.

Amanah dan tanggungjawab adalah ujian dari Allah yang mahu mendidik kita dengan tarbiyah secara praktikal. Jadi sebagai ahli jemaah Islamiyyah, perbuatan lari dari tanggungjawab adalah sesuatu yang sangat malang dan merugikan diri serta jemaah itu sendiri.

What next?

You can also bookmark this post using your favorite bookmarking service:

Related Posts by Categories