Carian


Laman Utama About Contact
Thursday, January 22, 2009

Warkah buat pimpinan muslimat...  

Assalamualaikum,

Terlebih dahulu ana ingin memohon maaf sekiranya coretan ana menyinggung perasaan sahabat-sahabat sekalian. Bukan untuk menyinggung, tetapi untuk kita sama-sama renung betapa kita semua banyak melakukan kesilapan sebagai pimpinan Muslimat di KUIN yang kita sayang ini.

Teman-teman akhawat sekalian,

Kita terpilih memegang amanah sebagai pimpinan dalam kalangan muslimat, untuk membantu melicinkan pergerakan organisasi kita dalam kampus ini. Bukan bermakna hanya kita sahaja yang layak, tetapi fikirkanlah kenapa Allah memilih kita. Yakinilah bahawa Allah yang memilih kita untuk memberi latihan kepemimpinan ini kepada kita, sebagai satu persediaan untuk kita menghadapi masa depan yang hanya Dia sahaja yang Maha mengetahui.

Ura-ura ada dalam teman-teman mahu mengundur diri dari jawatan yang disandang, dengan alasan tidak bersedia, kekangan masa,tidak cukup pengalaman, tidak dapat terima cara muslimin handle lujnah dan sebagainya, adalah alasan yang ana rasa sedih sekali mendengarnya. Kalau datang dari pelajar jurusan ekonomi, mungkin sebab mereka belum faham. Tetapi sedih sekali ia datang dari kalangan kita yang berada dalam jurusan usuluddin dan jurusan al-Quran. Bukankah kita sudah beriman bahawa setiap satu urusan itu adalah hak milik Allah? Allah yang menentukan untuk kita. Dia tidak sekali-kali akan zalim kepada kita. Kita tidak akan diberati oleh tugas-tugas yang tidak kita mampu, melainkan setiap amanah itu Allah mengetahui kemampuan kita untuk menerimanya.

Firman-Nya dalam surah al-Baqarah : 286 

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." 

Teman-teman akhawat sekalian,

Jika alasan tidak bersedia memegang jawatan, bilakah masanya kita akan bersedia? Cuba beritahu tarikh dan hari yang kalian pasti akan bersedia, supaya kita boleh adjust. Tentu kalian teragak-agak untuk menjawabnya, kerana dalam fikiran kalian, hanyalah untuk mengelak daripada memegang jawatan. Maaf ana pohon. Alasan kekangan masa, adalah juga alasan untuk melepaskan diri. Tidakkah kita semua sama sahaja masa yang Allah beri dalam satu hari? Jika kita sibuk, tidak terfikirkah kita ikhwan dan akhawat dalam organisasi kita yang lain juga sibuk seperti kita? Atau kita hanya mementingkan diri, hanya melihat mereka bertambah beban kerja disebabkan kalian melarikan diri?

Juga alasan tidak dapat menerima cara ikhwan mengurus lujnah, hanyalah alasan remeh yang direka untuk mengelak dari jalan dakwah. Akhawat sekalian, kita semua manusia, samada muslimin mahupun muslimat. Setiap manusia pula pelbagai ragamnya. Dan kepelbagaian ragam itu adalah rahmat kepada manusia. Manusia bukan robot yang perlu seragam setiap tindakan mereka. Dengan ketidakseragaman inilah manusia memerlukan antara satu sama lain untuk saling melenkapi kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Seperti jua kalian, ikhwan juga mungkin tiada pengalaman, kekangan masa, dan sebagainya. Mereka juga masih belajar berorganisasi, sudah tentu banyak perkara yang mereka dan kita juga harus belajar. Jika kita mengelak, kita akan kehilangan peluang untuk melatih diri kita. Jika kerana sedikit kesilapan pihak muslimin yang mungkin mengguris hati pun kalian sudah mahu mengundur diri dari jalan dakwah, bagaimana nanti jika kalian berdepan dengan masalah yang lebih mencabar? Adakah setiap kali berdepan masalah, kalian akan berkeputusan melarikan diri dari masalah?

Maaf sekali lagi ana pohon. Maaf jua jika susunan ayat ana menyinggung perasaan. Teman-teman seperjuangan sekalian. Kita sudah sedia maklum bahawa perjuangan kita dalam organisasi berteraskan Islam ini banyak cabaran. Bersabarlah, dan harungi dengan penuh tanggungjawab. Kita di sini tiada apa-apa tekanan dari mana-mana pihak. Cubalah kalian ikuti perkembangan perjuangan sahabat-sahabiyah kalian di IPTA-IPTA lain. Betapa mereka menerima pelbagai ancaman, ugutan, serangan dari pihak luar, mereka boleh terus bertahan. Kita hanya mengalami masalah dalaman jemaah sahaja. Malah masalah peribadi sendiri mengheret jemaah menjadi bermasalah adalah sesuatu yang tidak wajar.

Teman-teman akhawat sekalian,

Kita memerlukan pemimpin muslimat untuk membantu tugas ikhwan. Berorganisasi dalam jemaah ini memerlukan kesabaran, kecekalan, kesungguhan, tanggungjawab, bijaksana dan seumpamanya. Kekurangan pengalaman boleh diatasi dengan sentiasa berdamping dengan para pemimpin, bersama dengan tokoh-tokoh yang ada dalam kalangan kita dan sebagainya. Sentiasa bersedia menerima nasihat dan seronok apabila dinasihati. Bukan bermasam muka dan enggan bercakap dengan orang yang menegur kita. Jangan memandang remeh sebarang bentuk nasihat walau datang dari sesiapa pun termasuk musuh. Pemimpin yang enggan menerima nasihat, akan berakhir dengan salah satu daripada dua keadaan; yakni bersifat diktator, ataupun mengalami kegagalan dalam berorganisasi.

Harapan ana kepada semua, fikirlah dengan berpandukan ilmu dan iman kalian. Janganlah mengikut hawa nafsu yang sentiasa cuba mengheret kita keluar dari jalan dakwah. Tanamlah dalam diri kalian, bahawa amanah itu pasti akan ditanya mengenainya - samada kita melaksanakannya atau tidak, ataupun mengapa kita cuba lari daripada amanah yang ditetapkan Allah kepada kita.

Sekian, mohon maaf dari ana. 

Wardah,

What next?

You can also bookmark this post using your favorite bookmarking service:

Related Posts by Categories